Karipap Inti Keledek yang paling saya suka!

Thursday, May 07, 2015



Assalamualaikum & Salam Sejahtera,  

Lama tak mengkaripap. Pernah berkongsi resepi Disini dan Di Sini. Selepas tu pun ada juga buat beberapa kali tapi tak kan nak siaran ulangan resepi pulak kan.
Tapi memang setiap kali buat karipap mesti teringat arwah Mak. Mula belajar mengelim karipap di Tingkatan 1 bila tolong arwah Mak berjualan kuih-muih di markas Polis dulu. Karipap yang arwah Mak buat memang sedap. Selalunya banyak yang masuk ke mulut saya dulu sebelum sempat dihantar ke tempat jualan. Bila arwah Mak nampak, cepat-cepat saya cabut lari. Bila teringat, mulalah  saya tersenyum sendiri...


Bila buat karipap selalunya saya buat banyak-banyak lepas tu saya frozenkan sebab bagi saya, mengkaripap ni agak renyah dan meletihkan. Sebab tu bila buat saya akan buat 2-3 adunan lepas tu frozen kan untuk diulang-ulang makan. Anak bujang pun suka karipap yang saya buat menggunakan resepi yang satu ni. Sedap katanya.
Resepi yang saya paling suka sekali ialah resepi  dari Blog Hairul kiriman Puan Mekar,  yang saya olah sedikit resepi intinya untuk disesuaikan dengan selera kami. Lepas tu saya terjumpa pulak di FB resepi untuk kulit karipap frozen dan cara-cara untuk frozenkan karipap, tapi lupa pulak nak dicatatkan dari siapa. Saya akan kongsikan di sini juga.  Untuk inti pulak saya lebih suka guna keledek oren campur daging atau ayam. Kalau tak ada, ikan bilis atau udang kering pun saya bedal jugak. Tetap sedap jugak rasanya ditekak ni. Untuk kali ini saya gunakan Resepi 2 untuk kulit karipap. 

Resepi Karipap Inti Keledek

Resepi Kulit 1

Bahan:
500 g tepung gandum
120g margerin
160 ml air biasa @ air peti sejuk
Secubit garam

Masukkan semua bahan dan uli sehingga adunan tak melekat di tangan.
Boleh terus dicanaikan untuk buat karipap. (Saya masukkan dulu dalam peti sejuk selama 30 minit, baru guna)

Bahan inti:-
5 bj keledek anggaran sekilo - kupas kulit, basuh dan potong kiub
1 pkt kari daging
1 sdb cili serbuk - saya tambah
5 bj bawang merah - cincang *
2 bj bawang putih - cincang *
1 batang kulit kayu manis *
2 inci halia - tumbuk *
1 tangkai daun kari - lurutkan dari batangnya
Ayam/daging - saya letak 2 keping dada ayam yang di dadu kecil
Daun bawang - saya tambah
Garam secukup rasa
1 kiub stok ayam/daging
Air secukupnya - untuk empukkan ubi keledek

Tumis bahan bertanda * hingga naik bau.
Masukkan rempah dan serbuk cili yang telah dibancuh (saya tak bancuh sebab dah biasa tumis serbuk kari terus..sebab lagi cepat kari tu terbit minyak. Tumis selama 3-5 minit).
 Masukkan daun kari. Masukkan ayam/daging dan ubi keledek.
Seimbangkan rasa garam.
Masukkan air agak-agak tenggelam ubi dalam kuali, dan masak dengan api sederhana hingga ubi empuk dan air kering. Jangan lupa kacau sekali-sekala untuk mengelakkan keledek hangus dan melekat di dasar kuali. Masukkan hirisan daun bawang, balik-balikkan sebentar.
Ketepikan dan sejukkan dulu sebelum digunakan.

 Resepi Kulit 2: Sesuai untuk Frozen
Sumber: Facebook

Bahan:
250g Tepung Gandum
50g Tepung Jagung @ Tepung Ubi
50g Tepung Beras
50g Margerin
50 ml Minyak masak 
Secubit garam
130ml Air sejuk 

Cairkan mentega bersama minyak. Ketepikan.
Campurkan dan gaul rata semua bahan kering. Ketepikan.
Masukkan campuran minyak/mentega ke dalam tepung. Gaulkan hingga membentuk macam serbuk roti. Masukkan air sedikit demi sedikit dan uli hingga doh tak melekat di tangan. Bungkus dengan cling wrap dan simpan dalam peti sejuk selama setengah jam. Keluarkan dan boleh terus di canai.

Untuk frozen:-
Ada banyak cara untuk frozenkan karipap tapi saya paling senang dengan cara ini.
Selepas siap di klim, susun atas loyang yang ditabur dengan tepung macam dalam gambar di atas. Bakar selama 10-15 minit pada 100-130C. Sejukkan sebelum di bungkus. Jangan tindihkan antara satu sama lain, nanti melekat. Masukkan bungkusan dalam freezer. Bila nak goreng tak perlu dinyahbekukan. Terus goreng dengan api sederhana untuk elakkan kulit karipap menggerutu. Senangkan...paling senang di bulan puasa buat banyak-banyak dan bekukan.


Karipap yang saya goreng ni agak menggerutu pulak kulitnya, sebab gorengan pertama
minyaknya terlalu panas.


Yang ni tak menggerutu kulitnya sebab minyak sederhana panas aje. Jom kita makan
karipap!

Selamat Mencuba!

2 comments:

Terimakasih atas komen yang segar

 
copywrite@2015 MyMintroomDESIGNER BLOGS